Kuala Lumpur 11 Jun – Penggunaan kerusi khas untuk bayi dan kanak-kanak dalam kereta akan diwajibkan pada 2019 bagi tujuan keselamatan sekali gus dapat mengurangkan kadar kecederaan atau kematian akibat kemalangan jalan raya.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi berkata, sebagai langkah permulaan, pihaknya akan mengadakan kempen advokasi penggunaan kerusi khas itu selama empat tahun.
Beliau berkata, dalam tempoh tersebut, orang ramai akan dididik berhubung kepentingan menggunakan kerusi khas tersebut khususnya terhadap keselamatan bayi dan kanak-kanak sebelum peraturan itu dikuatkuasakan sepenuhnya.
“Malaysia juga merupakan anggota Forum Sedunia untuk Pengharmonian Peraturan Kenderaan (WP.29) sejak tahun 2006 dan memandangkan peraturan ini telah pun ditetapkan maka kita wajib menggunakannya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan kempen penggunaan sistem penahan diri kanak-kanak di Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.
Yang hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Ismail Ahmad.
Menurut Ab. Aziz, sebagai negara ahli WP.29, Malaysia bertanggungjawab mengguna pakai peraturan-peraturan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai penanda aras bagi tahap kualiti produk automotif yang dipasarkan.
Sehubungan itu, katanya, berkuat kuasa awal tahun ini juga semua kenderaan baharu buatan tempatan atau import wajib dipasang kemudahan atau alat untuk kerusi kereta bayi dan kanak-kanak di tempat duduk belakang kenderaan.
Katanya, kemudahan sambungan kerusi kanak-kanak yang dikenali sebagai Isofix itu boleh disambungkan dengan kerusi kereta tersebut dengan mudah dan lebih selamat berbanding kaedah sebelum ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, berdasarkan statistik kemalangan jalan raya yang melibatkan kanak-kanak pada tahun 2013, sebanyak 53 kanak-kanak terbabit dalam kecelakaan jalan raya dan daripada jumlah itu, 13 daripadanya meninggal dunia.

No comments:
Post a Comment